Pembantaian Nazi kepada bangsa Yahudi, diskriminasi aparteid Amerika terhadap bangsa kulit hitam dan kebobrokan Yahudi Israel terhadap bangsa Palestin.. sejarahnya tidak pernah padam. Sejarah cauvinis, sejarah rasialis, sejarah nasionalis. Premis Satu : Berita yang baru kita terima pada 5 Julai lalu, di wilayah Urumqi, Turkistan Timur yang terletak di negara terbesar Asia Tenggara, China tercetus sebuah rusuhan yang telah mengorbankan 156 nyawa. Rata-ratanya terdiri daripada etnik Cina Han manakala lebih 828 yang lain cedera. Siasatan awal mengesahkan sebanyak 261 buah kenderaan telah dibakar melibatkan 190 buah bas, 10 buah teksi dan dua kereta peronda polis. Pada awalnya ia adalah sebuah demonstrasi aman yang dianjurkan oleh kaum Uighur (Islam) tetapi kemudiannya bertukar menjadi sebuah rusuhan. Sebagai tindakbalas, pada 7 Julai ratusan kaum Han menyerang kaum Uighur bersenjatakan kayu dan belantan. (Stop! Ini laporan yang diterima oleh pembaca, pendengar dan penonton media arus perdana. Bagi media, inilah isunya). Premis Dua : Berita yang kita dapat tahu pada 25 Jun lalu, telah berlaku kematian 2 orang pekerja kilang etnik Uighur. Kerana tidak puas hati, puak Uighur telah mengadakan demonstrasi aman pada 5 Julai sebagai protes kepada kerajaan supaya pihak kerajaan mengendalikan kes ini dengan adil dan telus. Apa punca pembunuhan ini? Ada dua cerita yang ditemui setakat ini iaitu yang pertama berpunca dari kes gangguan seksual terhadap pekerja wanita oleh rakan sejawatan Uighur dan khabar kedua bahawa ada lelaki Uighur yang merogol wanita Han di sebuah kilang Shaoguan, Guangdong. (Tapi, dalam benak saya memikirkan, logik ke?) Terus ke bawah. Premis Tiga : Biasanya ia sebuah kesimpulan. Terkesan dengan pembentangan Dr. Hassan Ali dalam sebuah forum perdana di Kedutaan Syria 18 Julai lepas bahawa mahasiswa perintis perubahan perlu bijak mengharmonikan ilmu moden dan agama, aqli dengan naqli... sekadar mencuba-cuba dengan saranan beliau. Dalam kitab ‘Syarah Matan Waraqat’ dalam Fasal : Ta’arudh dinyatakan bahawa apabila bertembung antara dalil am/khas dengan dalil am/khas, ada tiga kaedah yang boleh diambil iaitu yang pertama, jika kedua-dua dalil am/khas boleh dikumpulkan, maka ia hendaklah dikumpulkan. Kaedah kedua menyebut jika kedua-dua dalil am/khas tersebut tidak boleh dikumpulkan, hendaklah berhenti padanya selagi tidak diketahui tarikhnya. Kaedah ketiga ialah jika telah diketahuitarikhnya maka, barulah boleh dinasakhkan dalil yang pertama atau dalil yang terdahulu oleh dalil kedua atau dalil yang kemudian (maaf, saya bukan pakar penterjemah). Maka, berdasarkan isu di atas, saya lebih berkenan menggunakan kaedah ketiga. Menasakhkan premis pertama di atas premis kedua. Tapi, apabila saya menasakhkan premis pertama bukan bermaksud premis pertama adalah salah dan tidak benar. Ia tetap benar pada khabarnya cuma tidak benar pada makna dan tujuannya. Kita membuat ‘ijtihad’ ini kerana kita mendapat berita daripada lipatan sejarah. Maaf sekali lagi, namanya bukan Turkistan Timur tetapi Xinjiang. Saya beritahukan ‘penipuan’ ini kerana jika anda mencari nama negara Turkistan Timur di peta dunia, anda takkan menemuinya sama seperti nama Palestin yang dihazafkan lalu ditukar kepada Israel. Contoh dalam pasport anda muka surat 2 : Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali : ISRAEL. Sejak Turkistan Timur diambil alih oleh Parti Komunis, Presiden Mao Zedong pada ketika itu telah mengubah namanya kepada Xinjiang dan berhasrat untuk mengasingkan umat Islam berdasarkan latar belakang etnik dan bukan identiti sebagai Islam. Apa jua isme, selagi mana Islam bukan dasarnya pasti membawa kepada fasad dan begitulah keadaan rasis, nasional atau cauvinis. Kita singkapkan semula sejarahnya. Tahun 1940-an, muncul Republik Turkestan Timur di sebahagian Xinjiang dan banyak warga Uighur merasakan itu menjadi hak asasi mereka. Namun kenyataannya, mereka menjadi sebahagian Republik Rakyat Cina pada tahun 1949 dan Xinjiang dinyatakan sebagai salah satu kawasan autonomi Cina dengan mengeyampingkan fakta bahawa majoriti penduduk di sana pada saat itu orang Uighur. Tahun-tahun ke hadapan menyaksikan penindasan terhadap rakyat muslim Uighur tanpa pembelaan. Kemuncak penindasan ini adalah era Revolusi Kebudayaan Cina pada 1966-1967 dan kaum Uighur sangat merasakan kesannya sehingga hari ini yang terus mengalami diskriminasi politik, ekonomi, budaya dan agama. Mereka dicengkam dengan dasar pemerintahan komunis China yang diamalkan. Migran oleh kaum Han ke Turkistan Timur ketika polisi Presiden Mao diperkenalkan telah menyebabkan bilangan populasi umat Islam berkurangan sehingga 10 juta orang. Proses penghapusan rakyat Islam Uighur dilakukan dengan sistematik. Dalam satu sumber dianggarkan lebih 360 000 orang Islam dibunuh, 100 000 dihalau ke Turkistan Barat dan 500 000 lagi dijadikan hamba abdi di kem-kem buruh paksa.Kesannya? Ekonomi mereka dieksploitasi apabila keuntungan hasil bumi mereka yang kaya dengan minyak, gas dan batu ara diangkat keluar bukan untuk kemajuan Xinjiang sendiri. Tanah-tanah penduduk dirampas dan pasar-pasar ditutup untuk menjahanamkan ekonomi penduduk muslim. Dalam politik dan pemerintahan, jawatan penting dalam pentadbiran diberikan kepada bangsa Han. Para pemimpin agama dan politik Turkistan Timur ditangkap, dibunuh, dimasukkan ke kem-kem buruh paksa dan ada yang hilang begitu sahaja. Atas nama diskriminasi agama lebih teruk mendapat layanan. Kaum muslim dilarang menghadiri pengajian atau solat di masjid sehingga umur 18 tahun. Kegiatan dan ekspresi agama dilarang di sekolah. Pelajar sekolah tidak dibenarkan berdoa, memakai pakaian, atau simbol Islam dan berpuasa di bulan Ramadhan. Pemerintah memantau masjid, memilih pemimpin agama, dan mengendalikan organisasinya. Kebudayaan mereka, bahasa dan aksara Uighur iaitu Arab berusaha dimusnahkan digantikan dengan aksara Cyriclic dan Latin. Anak-anak dipindahkan ke luar daerah, dibrand wash, dipaksa mempelajari budaya komunis yang cauvinis dan meninggalkan jati dirinya. Masjid-masjid ditutup yang sebahagiannya diambil alih dan dijadikan pejabat, asrama ataupun pusat-pusat penyembelihan haiwan. Lebih menonjolkan prejudisnya mereka apabila kitab Al-Quran dan buku-buku agama turut dibakar! Jadi apa beza Palestin dengan rakyat Uighur Turkistan Timur? Sekurang-kurangnya berita Palestin masih boleh didengari berbanding Uighur yang mendapat sekatan media daripada tersebar di arus perdana. Muslim Uighur sudah terlalu lama mendapat tekanan dan layanan rasis ini. Itu sebabnya akal waras kita tidak dapat menerima bahawa rakyat Uighur itu teroris, golongan pelampau. Tindakan-tindakan ganas mereka yang kadang-kadang tercetus hanyalah satu suara yang menuntut pembebasan. Berita-berita tidak masuk akal hanya propaganda kerajaan China untuk menghalalkan tindakan mereka menghapuskan rakyat Uighur. Kes pengeboman semasa Sukan Olimpik Beijing 2008, kita lihat kerajaan China sengaja menuding kepada Gerakan Islam Turkistan Timur sedangkan kumpulan itu tidak pernah wujud pun. Sama seperti taktik Amerika mengeksploitasi peristiwa 11 September untuk meloloskan mereka mencanangkan idea Islam Terrosrist dan guna menghapuskan Osama bin Laden dan al-Qaeda. Meminjam kata-kata penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar, biasanya kebenaran itu akan lambat datang. Sebagai umat Islam kita wajib meyakini bahawa masa depan hanya untuk Islam walaupun senario hari ini umat Islam masih dalam penindasan dan kemelaratan, tetapi hakikatnya ramai pakar dan penganalisis merasakan abad terakhir ini merupakan proses kebangkitan Islam. Keyakinan kita ini berasas daripada bukti sejarah yang dinyatakan Allah dalam ayat 249 surah al-Baqarah, “berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah?”. Namun persoalannya, untuk mencapai kepada kemenangan ini memerlukan syarat yang disebutkan dalam ayat lain surah al-Anfal ayat 45, “Wahai orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan satu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh (menghadapinya), dan sebutlah serta ingatlah Allah dengan doa sebanyaknya”. Hari ini kita menatap nasib Uighur, tetapi sudahkah kita membayangkan nasib kita? Adakah kita sudah bersiap sedia menghadapi‘peperangan akan datang?’
|